……..MATAHARI&BULAN……
3.00-6.25 PETANG
Hujan
renyai – renyai sepanjang jalan menuju Kuala Lumpur membuatkan aku
kurang selesa. Titis –titis hujan memenuhi segenap cermin bas.
Membentuk seakan-akan manik-manik kecil yang cantik. Aku pula semakin
kesejukan di dalam perut bas. Kesejukan yang semakin mencengkam ke
tulang. Mungkin kerana cuaca di luar yang semakin dingin. Di tambah
pula dengan penghawa dingin yang sengaja di pasang dengan kuat
menyebabkan aku menjadi kaku. Perjalanan yang memakan masa selama 3jam
ini benar-benar membuatkan aku letih. Letih mengharungi perjalanan yang panjang.mujur,
aku membawa novel kegemaranku “ Salina” bersama. Aku isikan masa
dengan membaca novel. Penumpang tidak begitu ramai. Ini membuatkan aku
aman dan selesa untuk membaca. Kebanyakan penumpang lelap. Mungkin
terlena kerana kedinginan cuaca di luar. Ataupun kedinginan Penghawa
Dingin. Aku meneruskan pembacaan. Bas meluncur laju menuju ke destinasi.
Tanpa di sedari, bas telah pun memasuki Bandaraya Kuala Lumpur.
Bergerak menuju ke Hentian Puduraya. Bas bergerak perlahan memasuki
hentian Puduraya. Sebaik sahaja bas berhenti,aku bergerak menyusuri
penumpang-penumpang lain untuk keluar. Hujan masih lagi renyai. Aku
bergegas meninggalkan Puduraya menuju ke MacDonalds yang terletak
kira-kira 100 meter dari puduraya. Aku mempercepatkan langkahan. Aku
bimbang pakaian akan basah kuyup. Pelanggan tidak begitu ramai ketika
aku sampai. Mungkin hujan yang melanda Kuala Lumpur menyebabkan para
penghuninya kurang berminat untuk keluar melakukan aktiviti rutin.
Mungkin senang duduk di rumah menonton T.V. atau pun keluar menonton
wayang.
6.00-7.00 PETANG
Aku memerhatikan kesibukan kota dari dalam. Hari semakin petang.
Lampu-lampu neon mula bemergelapan di sekitar kota raya. Kuala Lumpur
mula bermandi cahaya. Jam menghampiri 6.45 petang. Pelanggan mula
memenuhi segenap pelusuk Restoran segera. Aku masih lagi menantikan
kehadiran seseorang.seseorang yang pernah mewarnai hati ini. Seseorang
yang pernah menjadi teman dalam mimpi ku. Kerana dia, aku ke kota
metropolis ini.. Aku mulai gentar. Jantung mulai berdegup laju. Bimbang
mungkin. Bagaimana pandangannya terhadap ku nanti? Inilah pertemuan kali
pertama kami setelah 3 tahun tidak bersua semenjak menamatkan pengajian
di Universiti dulu. Dan kepalaku ligat berputar memikirkan persoalan
dan tanggapan yang bakal timbul dalam pertemuan kali ini. Adakah dia
seperti dulu? Sama seperti yang aku kenali dari segi fiil dan sikapnya.
Dan segalanya semacam payah untuk difikirkan. Aku membiarkan segala
persoalan dan tanggapan yang buruk-buruk itu berlalu pergi. Pergi
bersama angin senja yang kian menghambat waktu.
Penantian sememangnya menyakitkan. Aku cuba untuk bersabar semampu yang
mungkin. Hati mulai dipaut rasa resah. Mungkinkah pertemuan yang di
rancangkan tidak menjadi kenyataan? Aku buangkan segala andaian
jauh-jauh. Berfikir secara positif dan logik adalah yang terbaik ketika
waktu-waktu begini. Tiba-tiba sahaja telefon bimbit ku berbunyi
mematikan lamunan yang sedang memuncak. SMS darinya.
“Maaf aku lambat sikit. Kereta aku ada masalah. Harap kau tak marah. Dalam jam 8.00, aku sampai”. LIZA.
Ringkas dan penuh dengan simbolik. Aku menggeleng-geleng kan kepala.
Tanda kecewa. Aku cuba untuk menahan rasa kecewa yang kian menebal. Aku
mengingati kembali isi SMS yang di hantar pada ku minggu lepas. Liza
beria-ia meminta aku untuk datang menemuinya di Kuala Lumpur bertemu di
Restoran segera MacDonalds.. Katanya ada ‘perkara besar’ yang ingin di
bicarakan. Dan hari ini adalah harinya. Aku tidak ingin memikirkan
‘perkara besar’ yang ingin di sampaikan nanti. Cuma aku kian kecewa
dengan sikap Liza. Jam menunjukkan 7.30 petang. Aku segera keluar
bergegas ke Puduraya mencari surau. Melaksanakan perintahNYA, tunduk
mengagungkan kebesaran dan kehebatanNYA. Aku terasa tenang dan damai
jauh di pelusuk hati. Aku benar-benar merasai nikmatNYA.
Selesai solat, aku berdoa memohon di beri kecekalan jiwa agar dapat
menghadapi hidup yang serba mencabar. Berharap juga agar pertemuan ini
menjadi realiti dan segalanya lancar dengan izin maha Esa. Selesai
berdoa, aku kembali ke MacDonalds menantikan Liza. Aku segera teringat
kembali kisah silam kami berdua ketika di Universiti dulu. Bagaimana
kami kenal, bagaimana kami menjadi kawan baik dan akhirnya aku sendiri
jatuh cinta pada Liza. Bagaimana Liza menolak niat hati ku yang murni.
Segalanya berputar bagai lembayung. Aku terluka dengan penolakkan Liza
terhadap niat suciku. Lebih parah bila mengetahui hatinya kini milik
seseorang. Menyembuhkan luka yang tampak di mata terlalu mudah. Tapi
untuk menyembuh luka di hati mungkin sukar. Dan itu adalah fakta. Fakta
yang tidak mungkin di padamkan kebenarannya. Hakikatnya, aku tidak
pernah sembuh dari kelukaan tersebut. Aku mengakui bahawa aku masih
punyai perasaan sayang pada Liza. Sama ada Liza menyedari atau tidak,
aku tidak pasti. Aku hanya memiliki baying-bayangnya cuma. Tidak pernah
sekalipun mampu memiliki hatinya. Dan setiap saat dan tika aku
mengharapkan agar ada keajaiban muncul dalam hubungan kami. Tapi aku
sedar segalanya adalah mustahil. Keajaiban itu hanya milik maha Esa. Aku
sedar hal itu. Liza hanya menganggap aku cuma seorang kawan baiknya.
Dan itulah seringkali diucapkan ketika di Universiti dulu. Segalanya
tetap sama hingga kini. Dan aku tidak akan sesekali melanggar batasan
yang telah ditetapkan oleh Liza. Walaupun, batasan itu membuatkan aku
derita.
“Lama dah tunggu?”. Aku terkejut dengan sapaan tersebut.sekaligus
mematikan lamunan. Liza tersenyum memandang kearah ku. Liza duduk di
depan ku tanpa di pelawa.
8.00-9.00 MALAM
Hujan tetap renyai. Serenyai perasaan aku ketika ini. Cuaca bertambah
sejuk di luar. Para pelanggan semakin kurang di dalam restoran. Beberapa
meja kelihatan kosong. Di tingkat atas; di mana aku dan Liza berada,
Cuma kelihatan sepasang pasangan Cina yang sedang enak menikmati
hidangan yang di pesan. Kesenyapan mengigit kejap suasana. Aku membisu.
Begitu juga Liza. Mungkin perasaan gementar masih lagi membaluti
perasaan.
“ Macam mana perjalanan tadi?” soal Liza. Suasana sunyi mulai berakhir.
“Seronok. Mungkin sebab aku dah lama tak naik bas, aku menikmati setiap
perjalan tadi”. Ujar ku. Aku melontarkan senyuman.
“ Maaf pasal terlewat tadi. Kereta ‘buat hal’. Sebenarnya aku nak
beritahu lebih awal, tapi aku terlupa. Maaf ya?” Liza memberi
penjelasan. Ada raut kekesalan di wajahnya.
“ Tak mengapa, semua itu bukan kehendak kau. Lagipun perkara dah
terjadi kan?” Aku cuba menggembirakan hatinya. Ternyata aku berjaya.
Wajahnya beransur-ansur ceria. Segaris senyuman mulai terukir di
bibirnya yang mugil.
“ Aku tau, kau tak kan ambil hati pasal hal remeh macam ni. Itu sebabnya aku suka kawan dengan kau”, ujar Liza.
“Jadi, apa perkara besar yang kau nak cakapkan pada aku?”. Aku
mengerling ke arah Liza. Dia tenang dengan pertanyaan aku. Setenang
bulan yang bersinar di malam hari. Tiada reaksi. Aku kaget. Bimbang
soalan ku tadi menyentap rasa emosinya.
“ Habiskan hidangan dulu. Aku nak bawa kau pergi ke satu tempat.
Mungkin kita boleh berbicara di sana. Tempat ini tidak sesuai untuk
perkara sebegitu. Liza bersuara dengan tiba-tiba. Bagaikan ada kuasa
yang merasuki,aku patuh tanpa bicara. Segera menghabiskan hidangan yang
masih bersisa.
“Ke mana kau nak bawa aku ni?”. Soal ku. Liza mendiamkan diri.
Menghabiskan makanan yang masih tinggal. Reaksi Liza itu membuatkan aku
tertanya-tanya. Pelbagai-bagai soalan berlegar-legar di kotak minda.
10.00 MALAM- 6.00 PAGI
Bayu laut yang menghembus terasa dingin. Aku terpegun melihat keindahan
pantai di malam hari. Cahaya dari tongkang-tongkang kecil milik nelayan
berkelip-kelip. Seperti kunang-kunang yang menari-nari di dalam hutan.
Aku menikmati keindahan ciptaanNYA dengan rasa syukur dan takjub.
Pandangan ku beralih kepada Liza yang berada di sebelah. Ternyata dia
juga menikmati keindahan sama seperti mana aku menikmatinya.
“ Hidup ini tidak semudah yang kita sangkakan, betul?”. Liza membuka
bicaranya. Sambil itu matanya tidak lepas-lepas memandang ke arah
tongkang-togkang kecil di tengah laut. Bicara Liza membuatkan aku
tersentak dari lamunan. Aku segera berminat dengan persoalannya.
“ Itulah kehidupan. Tiada apa yang mudah dalam kehidupan. Hidup ini
adalah pertembungan antara realiti dan fantasi. Dan selalunya realiti
sentiasa melingkari hidup lebih dari fantasi,walaupun ada kalanya
fantasi itu indah untuk difikirkan,” aku menjawab dengan tenang. Jawapan
yang tidak disangka-sangka itu segera menyentap Liza. Dia berpaling
kearah aku. Tersenyum.
“ Sejak bila pula kau pandai berfalsafah tentang kehidupan ni?”. Liza
melahirkan rasa kurang senang dengan jawapan aku tadi.
“itu bukan falsafah. Tapi hakikat kehidupan yang mesti di tempuhi oleh
setiap manusia,” ujar ku. Liza terdiam dengan kata-kata tersebut. Riak
wajahnya seolah-olah mengakui kebenaran kata-kata yang terbit dari
bibirku sendiri.
“Kau lihat di sana; tanganku segera menuding ke arah tongkang-tongkang
nelayan yang sibuk mencari rezeki di dalam kepekatan malam.
“Mereka juga punyai impian untuk hidup dalam kesenangan. Impian yang
serupa seperti orang lain”. Aku berhenti.seraya memandang Liza. Liza
kelihatan memberi perhatian pada hujah ku. Dia agak terganggu dengan
pandangan ku.
“Teruskan kata-kata kau tu. Aku hairan kenapa kau bersikap skeptikal
malam ni?. Kau bukan seperti Zam yang aku kenal selama ni” Ujar Liza.
Dia agak hairan dengan sikap ku itu.
“Mereka ada impian dan fantasi sendiri. Mahu hidup mewah, ada banglo
besar. Ada kereta dan mampu membahagiakan keluarga. Tapi itu Cuma impian
dan fantasi yang tidak mungkin dapat digapai oleh mereka. Dan
realitinya, mereka terpaksa menyabung nyawa, mencari penghidupan yang
sempurna di mata mereka. Seperti mana sekarang. Aku mengakhiri kataku
yang agak panjang.
“Jadi maksudnya, setiap manusia itu punyai cita-cita dan impian seperti
yang pernah mereka fantasikan atau fikirkan. Pada akhirnya, kita
terpaksa berpijak pada kenyataan walaupun ia tidak seindah dan semanis
yang kita sangka. Betul?”. Liza cuba metafsir simbolik dari kata-kata
ku. Aku tersenyum.begitu juga Liza.
Angin dari laut terus menerus bertiup lembut di pantai ini. Pantai ini
mungkin memberi harapan kepada para penduduknya yang rata-ratanya adalah
nelayan. Harapan dalam segala bentuk. Harapan untuk memajukan kehidupan
mereka yang serba daif. Harapan agar generasi selepas mereka dapat
menyambung perjuangan mereka dalam mencari rezeki di pantai ini. Harapan
kepada masyarakat agar menghargai keindahan pantai ini dengan sebaik
mungkin. Aku berfikir sendirian. Kerana itu jugalah pantai ini dinamakan
Pantai Harapan. Mungkin juga. Siapa tahu. Liza kelihatan leka bermain
di gigi air. Lakunya itu membuatkan aku ketawa kecil. Masih lagi
keanak-anakkan. Tidak sepadan dengan usianya yang semakin matang. Aku
bersantai di dada pasir,tidak jauh dari tempat Liza bermain. Aku segera
mendekatinya. Rembulan yang tadi pucat di balik awan, kini bersinar
megah menemani malam yang kian tua.
“ Ada masanya kita perlu menjadi keanak-anakkan dalam sesuatu hal.
Barulah hidup ini akan lebih bererti”. Ujar Liza setelah menyedari
kehadiran ku. Mungkin juga dia dapat membaca apa yang terlintas di
hatiku tentang dirinya itu. Aku tersenyum dengan kata-katanya.
Aku berjalan menyusuri sepanjang pantai.beriringan dengan Liza. Dia
kelihatan ceria sekali bercerita tentang kenangan semasa di Universiti
dulu. Sesekali aku menyampuk percakapannya. Membuatkan rembulan makin
tersenyum di balik awan. Setelah penat menyusuri pantai,kami berehat di
dada pasir. Ketika ini aku bertanya kepada Liza.
“Jadi apa perkara besar yang ingin kau beritahu padaku?”. Liza menghalakan pandangannya pada ku. Lama dia terdiam.
“Aku akan bertunang hujung minggu depan”. Tutur Liza. Aku tersentap
dengan kata-kata Liza. Tapi aku cuba menenangkan perasaan. Berpura-pura
tidak ada apa yang terjadi.
“Cuma itu saja? Tidaklah besar sangat. Aku gembira mendengarkannya”.
Aku tersenyum. Aku tidak tahu mengapa aku tiba-tiba tersenyum
mendengarkan berita itu, sedangkan hati benar-benar terluka dengan
perkhabaran tersebut. Buat seketika aku tertunduk lesu. Memejamkan mata.
Memaksa diri menerima hakikat bahawa penantian selama ini adalah
sia-sia.
“ Ada yang lebih besar dari itu yang ingin aku bicarakan”. Ujar Liza. Aku Cuma mendiamkan diri ketika ini.
“Aku tahu, kau masih ada perasaan pada ku bukan?”. Liza segera
mengalihkan pandangannya pada ku. Aku tersentak dengan pertanyaan yang
tidak di duga itu.
“Bertepuk sebelah tangan tidak mungkin akan berbunyi. Aku cuma berharap
pada yang tidak pasti. Aku sedar hal itu.” Aku membalas kata-kata Liza.
“Kalau kau sedar, kenapa masih berharap lagi?”. Pertanyaan Liza makin menyempitkan perasaan ku ketika ini.
“Aku percaya bahawa pasti ada keajaiban di suatu hari nanti. Tuhan
pasti akan menolong aku”. Ujar ku penuh keyakinan. Liza hampir menangis
mendengar pernyataan itu. Aku tahu dia terlalu kecewa dengan pernyataan
tersebut. Dia terdiam. Kehilangan kata-kata.
“Aku cuma anggap kau sebagai teman baik ku sahaja. Tidak lebih dari
itu. Dan itu yang pernah aku katakan dulu. Hakikatnya tidak pernah
berubah”. Ada kesayuan dalam nada suaranya. Aku mendengarnya dengan
tenang.
“Maaf…Aku terpaksa melukakan hati kau kali ini. Hati ini bukan milik
kau. Harap kau memahaminya.” Liza menyambung kata-katanya. Membuatkan
aku bertambah duka. Hati kecil ku kini menangis mendengar pernyataan
Liza. Aku cuba menguatkan perasaan yang semakin sayu.
“ Tidak mengapa, aku faham. Itu kata hati kau. Aku doakan yang terbaik
buat kau.”. Aku melemparkan senyuman pada Liza. Sambil memujuk hati
menerima rasa kecewa yang makin berombak-ombak di jiwa.
“ Terima kasih. Aku sentiasa berharap kau akan berjumpa dengan seorang
wanita idaman kau. Suatu hari nanti.” Liza tersenyum riang.
“ Aku benar-benar berharap agar kau dapat lupakan aku. Kita lebih
sesuai untuk menjadi teman. Itu harapan ku.” Ujar Liza dengan penuh
pengharapan. Aku diam membisu. Saat ini tiada apa ungkapan yang dapat
aku lafazkan. Rasa pilu dan kecewa memenuhi segenap jiwa.
“ Kau pernah dengar cerita Pungguk rindukan bulan?”. Aku menyoal Liza.
Segera ku tanyakan soalan itu pada Liza. Liza kelihatan tertawa. Dia
segera mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Pernah. Zam, kisah Pungguk itu cuma dongengan. Hanya cerita karut yang
dibuat-buat. Mana mungkin Pungguk memiliki si Bulan yang jauh tinggi di
awan. Jangan kata bahawa kau percaya cerita sebegitu”. Perli Liza
padaku. Aku tersenyum dengan kata-kata Liza.
“Cerita itu cuma punya makna tersirat. Cerita yang punyai kiasan. Kisah
seseorang lelaki yang setia menanti wanita yang disayanginya kembali.
Kembali menerima cintanya, walaupun dia sedar dia tidak mungkin memiliki
hati wanita itu. Bukan cuma cerita karut semata-mata. Cerita tentang
kesetiaan dan cinta suci seorang lelaki. Dongeng yang indah bukan?”.
Ujar ku. Wajah Liza berubah dengan tiba-tiba. Masam. Sindirannya tadi
berpatah kembali.terkena diri sendiri.
“Zam. Tolong jangan nak mulakan kembali pasal kita. Keputusan aku
tidak mungkin berubah. Faham?”. Nada suara Liza mula berubah warna. Ada
ketegasan dalam nadanya. Matanya merah menahan marah yang tiba-tiba
meluap. Aku kembali terdiam.
Bulan semakin pucat di balik awan. Suasana di pantai kelihatan sunyi.
Sesekali terdengar desiran ombak memukul pantai. Tongkang-tongkang
nelayan sudah tidak lagi kelihatan. Mungkin para nelayan-nelayan itu
telah kembali ke jeti membawa pulang rezeki masing-masing. Liza Cuma
mendiamkan diri melihat pantai yang kosong dan sepi. Aku turut sama
memerhatikan pantai yang kosong dan luas. Seperti kosongnya perasaan aku
ketika ini.
“Zam, cuba belajar untuk lupakan aku boleh?. Aku tahu bukan mudah untuk
kau, tapi itu yang terbaik buat diri kau. Masa akan membuatkan kau lupa
pada ku. Janji pada ku boleh?. Janji lupakan hasrat kau untuk memiliki
aku.”. Liza merayu. Saat ini tangannya erat menggengam tanganku. Aku
terkesima. Mulutku terkunci rapat. Kehangatan jari-jemarinya benar-benar
membuatkan aku tiba-tiba sebak. Sebak dengan permintaan Liza yang sudah
pasti payah untuk aku tunaikan. Hati ku makin sebak merasakan eratnya
genggaman tangan Liza. Tangan yang tidak mungkin dapat di kucup mesra
atau digenggam erat seperti mana yang sering aku mimpikan dalam
mimpi-mimpi tidurku selama ini. Aku pasti ini adalah pertemuan terakhir
dengannya. Aku pasti. Aku tertunduk lesu. Tika ini, segala kata tidak
lagi bermakna. Jiwa kian duka tersungkur di pintu kasih. Aku cuma
mengangguk lemah tanda setuju.
“Harap kau akan mengotakan janji-janji itu.” Liza mengorak senyuman. Secantik mawar yang berkembang di pagi hari.
“Kita akan tetap jadi sahabat sampai bila-bila Zam. Itu janji aku”.
Sambung Liza. Saat ini aku berpaling merenungnya. Berfikir, mencari
kebenaran kata-katanya. Apakah mungkin seorang wanita sepertinya. Yang
hatinya bakal dimiliki oleh lelaki idaman hati, mampu menjadi sahabat
kepada ku. Kesangsian mulai hadir di hati. Apakah kata-kata Liza sekadar
pujukan untuk membaluti hati yang kian luka? Atau kata-kata itu lahir
dari hatinya yang benar-benar tulus ikhlas sebagai sahabat. Semua itu
menjengah fikiran ku ketika ini.
Bulan kembali bersinar terang. Meloloskan diri dari kepungan sang awan.
Terang cahayanya tidak jua mampu menerangi jiwa yang kosong dan hampa.
Kedinginan malam kian terasa. Menghambat segala saraf. Aku masih lagi
membisu.
“Zam, aku ingin kau jadi seperti sang bulan itu”. Suara Liza
mengejutkan aku. Lantas tangannya ditudingkan ke arah bulan yang
memancar megah.
“Bulan memancarkan sinarnya demi menemani malam yang penuh kegelapan.
Mewarnai lukisan kehidupan semesta. Begitu juga sahabat. Sentiasa di
sisi ketika di perlukan. Itulah kau Zam….”. Ujar Liza sambil senyuman
terukir di bibir. Pandangannya segera beralih kearah bulan. Aku segera
mendongak ke langit memandang bulan yang megah bersinar di dada langit.
Kata- kata Liza sudah ku jangkakan.
“Aku lebih suka jadi matahari”. Ujarku gurau. Aku tersenyum. Liza turut tersenyum.
“Apa bezanya?. Dua-duanya sama. Menyinari alam ini. Bukankah itu sifat
sahabat”. Liza memberi pendapatnya. Kami tertawa bersama. Walaupun
kecewa dengan kata-kata Liza, tapi itulah realiti yang pahit untuk
diterima oleh hati. Kadang-kala, melepaskan sesuatu yang ingin kita
miliki adalah sesuatu perkara yang dungu. Namun, ada masanya lebih baik
melepaskan dari memiliki kerana tidak semua yang kita miliki itu indah.
Aku tiba-tiba bermonolog dengan hatiku sendiri. Aku dan Liza berjalan
menuju ke kereta meninggalkan pantai Harapan yang semakin damai menanti
sang pagi menunjukkan wajah. Aku pasti pagi nanti para nelayan akan
kembali menjengah pantai ini. Seperti selalu.
6.00-10.00 PAGI
“Pukul berapa bas kau”?. Liza bertanya sebaik sahaja aku selesai membeli tiket.
“Jam 6.30 pagi. Kenapa?”. Soal ku. Waktu ini orang tidak begitu ramai
di Puduraya. Banyak kaunter tiket masih lagi belum di buka.
“Saja aku tanya. Terima kasih Zam,” sambil tersenyum. Aku terkejut dengan ucapan yang tidak disangka-sangka itu.
“Untuk apa?”. Aku menggaru-garu kepala ku yang tidak gatal.
“Untuk malam yang indah. Kau sudi menemani aku. Sepanjang kita
berkawan, semalam merupakan hari yang paling gembira buat aku. Aku akan
sentiasa mengingatinya”. Ada keriangan dan kepuasan terlukis di wajah
ayunya.
“Aku pun begitu. terima kasih”. Aku mengukir senyuman.
“Liza, aku banyak berfikir malam tadi. Berfikir tentang hal kita”. Kata-kata ku membuatkan Liza terperanjat.
“Aku
memikirkan kata-kata kau semalam.Mungkin itu yang terbaik buat kita”.
Ujar ku. Liza diam. Dia kelihatan serius mendengar setiap patah kata
yang ku tuturkan. Sejurus itu dia menghulurkan tangan untuk berjabat.
Aku terpinga-pinga. Kurang mengerti dengan maksud Liza.
“Sahabat?”. Tutur Liza. kegembiraan jelas terpancar di matanya. Seketika itu aku memahami maksud Liza.Aku segara menghulurkan tangan untuk berjabat.Aku tersenyum mesra.
“Ya, sahabat buat selamanya.” Kata ku. Kami tersenyum.
“Selagi ada matahari menyuluh alam, dan selagi bulan setia menemani
malam. Persahabatan ini akan sentiasa kekal”. Liza bersuara. Hentian
Puduraya mulai sibuk. Kaunter-kaunter tiket mulai dibuka. Orang
kelihatan berpusu-pusu membeli tiket menuju ke destinasi yang
diinginkan. Aku dan Liza segera bergerak ke tangga platform menuju ke
deretan bas yang sedia menunggu para penumpang.
“Jadi, sampai sini saja ‘pengembaraan’ kita kali ini”. Liza
menghulurkan tangan untuk berjabat. Tanda selamat jalan dari seorang
sahabat.
“Tidak. ‘Pengembaraan’ kita baru saja bermula.Gurau
ku. Tiba-tiba lengan ku terasa pedih. Liza mencubit lenganku. Mungkin
geram dengan seloroh ku. Mukanya masam. Aku ketawa melihat wajahnya itu.
Sebelum aku menaiki bas, Liza sempat berbisik sesuatu.
“Zam, tiada sesuatu yang berharga dalam hidup ini melainkan mendapat
seorang sahabat sejati. Aku benar-benar bersyukur kerana Tuhan
mengurniakan kau sebagai anugerahNYA kepada ku.” Bisik Liza.
Bas bergerak perlahan-lahan meninggalkan Hentian Puduraya. Aku
memandang ke luar tingkap bas. Liza melambai-lambaikan tangannya. Aku
membalas lambaiannya. Ada garis-garis duka diwajahnya. Setitis dua
airmatanya tumpah membasahi pipinya. Dan wajahnya Liza kian menghilang
setelah bas mulai meninggalkan Puduraya. Aku terharu dengan Liza.
mungkin jua aku terharu dengan keikhlasan hatinya yang tidak pernah ku
cuba untuk fahami. Mungkin jua terharu kerana ini merupakan pertemuan
kali akhir sebagai sahabat. Mustahil buat aku untuk bertemu Liza lagi.
Aku bertambah terharu bila mengenangkan ‘kebodohan’ yang aku cipta
sendiri. Bodoh kerana cuba menagih cinta dari seorang perempuan yang
hatinya mustahil untuk dimiliki. Sedangkan dia benar-benar ikhlas dan
setia dalam persahabatan. Aku segera bersandar. Merehatkan badan yang di
serang keletihan. Memejamkan mata.,seraya berdoa di dalam hati
“Ya Allah, Kau berkati dan rahmatilah persahabatan kami ini. Jadikanlah
persahabatan ini kekal sehingga hari kami menghembuskan nafas akhir
kelak. Amin. Bas meluncur laju meninggalkan Kuala Lumpur. Kata orang
persahabatan dan cinta itu adalah dua perkara yang berbeza dalam
kehidupan ini. Kedua-duanya sama penting dalam hidup ini. Hidup tidak
akan sempurna tanpanya. Entah! Bagi aku, kedua-duanya adalah sama.
Nilainya punyai pengaruh yang besar dalam kehidupan manusia. Apa pun,
aku mengerti bahawa cinta bukan mudah untuk dipaksa. Persahabatan pula
akan berkembang mekar andainya sentiasa bersifat tulus, ikhlas dan
jujur. Aku terlena di dalam bas yang meluncur laju.
ليست هناك تعليقات:
إرسال تعليق